20130513

Langit itu



Ada seorang insan ini.
Petang itu, dalam keriuhan orang lain bergelak ketawa, dia tenang pergi ke luar. Menjauhkan diri  dari keriuhan. 

Matanya asyik melihat awan-awan berarak. Putih bersih. Gebu. Cantik. Tak berkalih. Entah apa difikirkan.
Senyuman terukir. Mulutnya terkumat kamit memuji kebesaran Ilahi. 
Tiba-tiba matanya terasa panas. Air mata mula bergenang. Empangan mata mula pecah dan air hangat pantas turun ke pipi. Senyuman kini sudah hilang dari bibir. 

Seboleh mungkin dia cuba menahan rasa itu. Tapi gagal. Matanya kini terpejam. Kepalanya menunduk ke bawah. Bibirnya dikatup kuat agar tiada tangisan kedengaran. Sedu sedannya ditahan kuat agar tiada siapa mengetahui hatinya pada ketika itu. Tangannya digengam kuat untuk menahan rasa itu. Biarlah tak siapa tahu hatinya. 

Keadaan kini sedikit tenang. Insan itu berusaha menenangkan dirinya sendiri. Air  matanya sudah berhenti mengalir. Matanya dibuka. Jelas terlihat warna kemerah-merahan. Dia menarik nafas panjang untuk beroleh kelegaan. Kali ini dia pandang ke arah langit lagi. Langit bagai memujuk-mujuk hatinya supaya berhenti bersedih. Warna langit kini sudah berubah berwarna kemerah-merahan bercampur sedikit jingga, ungu dan kelabu. 

Dia memejamkan mata dan membiarkan pipinya dicium angin-angin yang lalu lalang. Suatu kelegaan muncul dengan sendirinya. Mulutnya terkumat-kamit menyebut satu nama. Allah..Allah..Allah..

Nama itulah yang beri ketenangan dalam jiwanya. 

Dia malu dengan dirinya sendiri. Baru dijentik dengan ujian sudah jatuh tersungkur. 
Bagaimana mahu menjadi mujahidah!

Ujian tidaklah sebesar mana sudah tak dapat melangkah. 
Ujian tak sehebat mana sudah mahu undur diri.
Malu. Malu. Malu. Malu dengan diri sendiri!

Malu memikirkan apalah yang Tuhan sedang lihat pada dirinya pada ketika itu. Langsung tak tegar. Langsung tak kuat. Langsung tak gagah. 

Langit memujuk. Kali ini ditampilkan warna-warna senja yang menawan. 

Kata langit,
"Bersabarlah. Tidakkah kamu sedar ujian ini sebenarnya untuk menaikkan kamu. Untuk membesarkan jiwa kamu. Ujian ini untuk mencungkil nilai hebat dalam diri kamu. Apakah kamu dapat mengatasinya?
Lepas satu ujian, ke ujian yang lain. Semuanya itu untuk kamu jua. Di akhirnya pasti kamu akan berterima kasih akan ujian-ujian yang mengajar kamu dulu."

Tangisannya kini sudah benar-benar reda. 
Dia sedar dia kini sudah jauh berubah berbanding dulu. Jiwanya kini lebih kuat. Hatinya sudah lebih cekal.

Senyum. Syukur. 



   

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...